KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah akan menyokong mana-mana gabungan yang bakal diputuskan oleh BN pusat untuk membentuk kerajaan Persekutuan, kata Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata BN Sabah membuat keputusan itu kerana mahu memastikan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan seterusnya mewujudkan kestabilan di negara ini.
“Kita akan ikut keputusan parti (BN pusat) bagaimana, kita kena utamakan kestabilan kerajaan (Persekutuan) dan negara ini dahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri, Bung Moktar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan kerjasamanya dalam kerajaan Sabah itu.
“Kita akan bincang dengan GRS selepas selesai penubuhan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, BN Sabah memenangi tujuh daripada 12 kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Hari ini, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata GRS menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, dan gabungan itu juga bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain yang bersedia bekerjasama untuk tujuan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial