AM

MOSTI lancar MYHackathon 2022 - Kohort 2

22/11/2022 04:03 PM

KUCHING, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini mengumumkan kesinambungan program penyelesaian masalah di peringkat kementerian dan agensi kerajaan iaitu MYHackathon 2022 - Kohort 2.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata program dilaksanakan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) itu, merupakan lanjutan daripada MYHackathon 2022 - Kohort 1 yang diadakan pada Julai lepas.

Katanya program itu menyasarkan penyertaan syarikat pemula niaga, pembangun perisian, pengekod dan individu berkemahiran dalam bidang teknologi untuk bersama-sama membantu kerajaan dalam menghasilkan solusi kepada masalah dikemukakan.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk syarikat pemula niaga atau individu menawarkan penyelesaian digital bagi menambah baik kualiti penyampaian kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengekalkan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, kohort kedua program berkenaan telah bermula hari ini hingga 28 Nov dengan 130 penyertaan setakat ini.

Terdapat lima pernyataan masalah dikemukakan oleh pihak kementerian dan agensi kerajaan bagi MYHackathon 2022 - Kohort 2, yang menawarkan hadiah geran permulaan sehingga RM250,000 kepada pemenang untuk membangunkan projek rintis serta bimbingan pelaksanaan projek secara ‘one-to-one’ selama 12 bulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan