SUKAN

Izzat muncul naib juara di New Zealand

25/11/2022 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Atlet boling padang negara Izzat Shameer Dzulkeple muncul naib juara Kejohanan Juara antara Juara-juara Perseorangan Dunia di New Zeland, hari ini.

Pemain berusia 30 tahun dari Perak yang berdepan lawannya dari England Sam Tolchard, bangkit selepas ketinggalan 3-12 pada set pertama untuk menang set kedua dengan 6-4, sekali gus mengheret kepada perlawanan penentuan aksi final itu.

Pada aksi penentuan, pemenang pingat gangsa kejohanan Boling Padang Asia Pasifik sebanyak dua kali itu bagaimanapun tewas 2-3 untuk membawa pulang pingat perak.

Berdasarkan laman web rasmi kejohanan, Izzat mengejutkan juara bertahan dari Australia Lee Schraner pada aksi separuh akhir semalam manakala Tolchard mengenepikan pemain Ireland Gary McCloy.

Sementara itu, pemenang pingat perak acara triples Sukan Komanwel 2022, Nur Ain Nabilah Tarmizi, menamatkan saingan di tempat kelima acara perseorangan wanita.

“Izzat telah melakukan segala-galanya, walaupun hampir menumbangkan musuhnya sehingga bowls (perlawanan) yang terakhir dalam pertarungan penentuan juara dunia. Tahniah juga Nur Ain,” menurut ketua jurulatih kebangsaan Zuraidi Puteh di laman Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan