EKONOMI

SME Corp, OSMEP Thailand meterai MoU pacu daya saing PMKS

26/11/2022 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pejabat Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (OSMEP) Thailand bagi meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam kenyataannya hari ini, SME Corp berkata menerusi dokumen itu, agensi terbabit menyasarkan untuk memperkukuh kerjasama dan pakatan menerusi perkongsian dasar, kepakaran dan maklumat membabitkan kedua-dua negara.

MoU tersebut turut memberi tumpuan khusus kepada aspek saling bertukar maklumat dan pelaksanaan aktiviti dalam bidang berkaitan pendigitalan, kemampanan dan akses pasaran untuk PMKS.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy menyuarakan keyakinan beliau bahawa MoU itu dapat meningkatkan kerjasama ekonomi serta menyumbang kepada lebih banyak dagangan antara Malaysia dan Thailand.

“Di bawah pemeteraian MoU ini, kami berikrar untuk memberi komitmen serta usaha berterusan bagi meningkatkan kerjasama strategik dalam memperkasa, kebolehpasaran dan pengantarabangsaan PMKS,” katanya.

Mengikut SME Corp, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat dunia serta rakan dagang ketiga terbesar di ASEAN.

Jumlah dagangan Malaysia dengan Thailand mencatat pertambahan sebanyak 21.7 peratus kepada RM60.75 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding RM47.87 bilion dalam tempoh sama pada 2021.

“Bersandarkan latar belakang itu, SME Corp akan terus menggalakkan pembangunan PMKS yang berdaya saing, inovatif serta berdaya tahan menerusi penyelarasan serta tawaran sokongan perniagaan yang berkesan," kata agensi itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan