AM

JAWI tambah pusat pelupusan Al-Quran, tingkat produktiviti harian

30/11/2022 08:34 PM

PELABUHAN KLANG, 30 Nov (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merancang untuk membina sebuah pusat pelupusan al-Quran baharu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi meningkatkan keupayaan melupuskan naskhah suci tersebut, dengan tatacara yang benar.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur, setakat ini hanya mampu melupuskan sebanyak 150 kilogram (kg) naskhah al-Quran yang rosak atau musnah dalam masa sehari.

Beliau berkata dengan adanya pusat pelupusan baharu tersebut, keupayaan melupuskan naskhah suci boleh dipertingkatkan sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar sedia ada, iaitu sehingga sekitar setengah tan sehari menggunakan teknologi moden.

“Jika ia diluluskan dan ada peruntukan, proses pelupusan akan menjadi lebih pantas, kerana kita telah melakukan dengan beberapa pihak dan ia menggunakan teknologi yang lebih maju, bukan secara manual.

“Setakat ini, (pembinaan pusat pelupusan) masih dalam perancangan dan kita akan utarakan ke pihak yang lebih tinggi untuk dapatkan kelulusan bajet dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemuliaan al-Quran JAWI Bersama Jabatan Laut Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu sebanyak 6.8 tan abu al-Quran dibawa dalam bentuk bongkah menaiki kapal MVPEDOMAN sejauh 12 batu nautikal dari Pelabuhan Klang untuk dilupuskan di tengah lautan. Pelupusan abu ayat suci itu dikendalikan oleh Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam.

Mohd Ajib berkata abu tersebut merupakan hasil daripada lebih 30,800kg naskhah al-Quran yang rosak atau musnah akibat banjir di sekitar Pahang dan Selangor pada tahun lepas, dan sejumlah naskhah yang dihantar sendiri beberapa pihak lain untuk dilupuskan.

“Program ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kita mempunyai tatacara untuk mengendalikannya, seperti prosedur yang diberikan dalam satu Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 yang mencadangkan al-Quran yang telah rosak dibakar, ditanam atau dilupuskan di tengah laut yang mana airnya mengalir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan