EKONOMI

Kemudahan asrama pekerja, harga tanah murah tarik pelaburan lebih tinggi ke Johor berbanding Selangor

01/12/2022 12:13 PM

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Kawasan perindustrian yang lengkap dengan kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri yang jauh lebih murah berjaya menarik jumlah pelaburan yang lebih tinggi ke Johor berbanding Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian serta Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, Selangor merekodkan pelaburan berjumlah RM4.88 bilion manakala Johor pula merekodkan pelaburan berjumlah RM6.67 bilion.

Bagaimanapun, katanya dari segi jumlah kelulusan projek perkilangan, Selangor merekodkan jumlah yang tertinggi berbanding Johor dan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 118 projek berbanding Johor sebanyak 68 projek.

“Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan yang lebih kurang sama dari segi kedudukan lokasi yang strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan antara setiap kawasan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai punca jumlah pelaburan di Selangor yang jatuh kepada kedudukan kedua selepas Johor bagi tempoh Januari hingga Jun 2022. 

Beliau berkata usaha untuk menambah pelaburan baharu oleh kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalak pelaburan yang sentiasa melaksanakan pelbagai program dalam usaha untuk memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur.

Katanya ini termasuk perancangan strategik melibatkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan, Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor, penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor dan program promosi penggalakkan pelaburan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan