EKONOMI

MYAirline optimis lebar sayap ke destinasi Asia Tenggara

01/12/2022 04:45 PM

SEPANG, 1 Dis (Bernama) -- Syarikat penerbangan tambang rendah baharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) optimis bahawa ia akan ‘melebarkan sayapnya’ ke destinasi antarabangsa pada suku pertama 2023.

Sebagai permulaan, laluan antarabangsa yang disasarkan ialah sekitar rantau Asia Tenggara iaitu Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

 Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo berkata perbincangan mengenai penerbangan antarabangsa telah dimulakan sebelum ini.

“Kami berharap kami dapat menyasarkan penerbangan antarabangsa pertama kami pada akhir suku pertama tahun depan. Penerbangan antarabangsa lebih rumit sedikit dari segi kelulusan berikutan kita perlu berurusan dengan lebih daripada satu negara,” katanya kepada pemberita hari ini.

Teo berkata demikian selepas perasmian penerbangan sulung MYAirline ke Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini.

MYAirline hari ini melancarkan tiga laluan pertamanya dari klia2 ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasinya di Malaysia.

Menurut Teo, penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu hari ini mencapai faktor muatan lebih 80 peratus manakala untuk penerbangan ke Langkawi, kira-kira 70 peratus.

Katanya syarikat juga akan menawarkan penerbangan domestik ke destinasi lain selepas ini iaitu Pulau Pinang, Kota Bharu dan Sibu selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Pada masa ini, MYAirline mempunyai hampir 500 pekerja termasuk kira-kira 60 juruterbang.

Pada sesi meja bulat media pertama MYAirline semalam, Teo berkata MYAirline akan menjadi pihak pertama yang menggunakan tempat duduk ergonomik yang ringan, mesra alam sekitar dan ‘pre-reclined’ (tidak boleh ubah), yang menjimatkan sehingga 900 kilogram berat pesawat.

Tempat duduk ‘pre-reclined’ adalah tempat duduk tetap yang penumpang tidak boleh ubah atau sesuaikan. Tempat duduk ini tidak memaksa penumpang untuk duduk tegak sepenuhnya dan ia juga tidak membenarkan penumpang bersandar sejauh yang mahu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan