POLITIK

Ronnie Liu minta maaf kepada Ketua Pembangkang Selangor

01/12/2022 04:59 PM

SHAH ALAM, 1 Dis (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor susulan kekeliruan mengenai projek penebangan bakau melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Saya ingin meminta maaf kepada Ketua Pembangkang (Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) kerana pada sesi lalu, beliau membangkitkan isu PKPS yang melibatkan kawasan pantai di kawasan DUN beliau.

“Dalam sesi itu, saya rasa saya percaya projek itu bukan diluluskan kerajaan PH tetapi selepas semakan didapati projek itu diluluskan oleh kerajaan PH. Jadi saya minta maaf,” katanya semasa persidangan DUN Selangor di sini hari ini.

Media melaporkan, Rizam pada sesi DUN sebelum ini mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil inisiatif memulihkan tanah paya bakau yang sepatutnya dijadikan projek kelapa sawit secara besar-besaran membabitkan PKPS di kawasan Kampung Dato Hormat, Sungai Ayer Tawar sekitar 2008.

Beliau mendakwa kawasan berkenaan dibiarkan selepas pokok bakau ditebang namun dakwaaan itu disangkal bekas Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong yang menafikan kelulusan penebangan bakau diberikan selepas Pakatan Rakyat mentadbir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan