SUKAN

Steinbruckner intai dua pemain dari Croatia isi kuota import TFC

03/12/2022 12:53 PM

KUALA NERUS, 3 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) yang baharu, Tomislav Steinbruckner berhasrat untuk menggunakan khidmat dua pemain dari negara asalnya, Croatia bagi mengisi kuota import skuad itu musim depan.

Turut diintai, seorang pemain dari negara ASEAN untuk melengkapkan kekosongan yang ditinggalkan pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina, Manuel Ott yang dikhabarkan mengikut jejak bekas pengendali TFC, Nafuzi Zain berhijrah ke skuad Sang Kenari tahun depan.

"Kami berhasrat untuk menawarkan tawaran kepada beberapa pemain asing… Saya sedang mencari seorang penyerang dan pemain tengah untuk menggantikan penyerang tahun ini, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

“Saya percaya kami boleh bawa dua pemain Croatia, tetapi kami masih mencari seorang lagi pemain ASEAN untuk menggantikan Manny (Manuel Ott),” katanya ketika ditemui di pejabat Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) di sini.

Selain itu Steinbruckner yang pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Teknikal (TD) skuad Penyu turut merancang untuk membawa masuk beberapa pemain muda dari pasukan 'adik', Terengganu FC ll (TFC ll) ke skuad utama musim depan.

Menurut Steinbruckner antara pemain yang berpotensi untuk 'dinaikkan pangkat' termasuk Muhammad Safwan Mazlan dan Aqil Irfanuddin Mohd Sabri yang menjadi tonggak utama skuad The Turtles musim ini.

"Mungkin saya akan bawa beberapa pemain TFC II seperti Safwan, dia layak beraksi dalam skuad pertama (TFC) dan sudah tentu ada pemain kontrak seperti Aqil.

“Dia kini berusia 25 (tahun)...tidak boleh lagi bermain dengan skuad Terengganu bawah 23 tahun dan akan bermula dengan pasukan saya pada musim baharu,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menafikan khabar angin bahawa TFC berminat untuk menggunakan khidmat bekas pemain Sabah FC, Luka Milunovic dan Sanjar Shaakhmedov bagi memperkuat skuad itu musim depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan