POLITIK

Pelantikan Ahmad Zahid dibuat berdasarkan hierarki parti - Ahmad Maslan

04/12/2022 08:25 PM

ROMPIN, 4 Dis (Bernama) -- Pelantikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan berunsurkan kepentingan politik, tetapi dibuat dengan mengambil kira kedudukannya dalam hierarki parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pelantikan Ahmad Zahid ke jawatan kedua tertinggi negara itu juga, bertujuan memberikan kestabilan kepada Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk selepas tiada parti memperolehi majoriti mudah 112 di Dewan Rakyat.

“Tidak pernah satu Kabinet pun yang tidak menerima kritikan… berapa banyak kali kita melihat ada satu perkara yang 100 peratus  sempurna. Mesti ada pihak yang tidak bersetuju di sana sini.

“Jika kita memberikan kepada orang lain selain Presiden (Ahmad Zahid), kestabilan itu agak tercabar. Kestabilan pertama dalam UMNO dan kedua dalam Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

“Oleh itu kita ingin kestabilan dan mengikut hierarki parti satu perkara yang sesuai dibuat pada saat ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ceramah di Kampung Pianggu di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid juga memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. 

Ditanya mengenai penerimaan parti terhadap keputusan barisan jemaah Kabinet, Ahmad berkata maklum balas positif diterima daripada peringkat akar umbi parti.

“Kita sedar kita hanya ada 30 kerusi dan enam wakil (menjadi menteri) pada pandangan kita Alhamdulillah, walaupun kita meminta lebih. Kita tunggu senarai timbalan menteri pula,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan