AM

ADNAN YAAKOB TERIMA IJAZAH UNDANG-UNDANG PADA USIA 72 TAHUN

04/12/2022 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Minat mendalam terhadap ilmu menjadi pendorong kepada bekas Menteri Besar Pahang ke-14 Tan Sri Adnan Yaakob untuk menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 72 tahun.

Bukan sekadar tamat pengajian malah Adnan yang merupakan antara 414 graduan penerima ijazah dalam bidang itu hari ini pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38, juga dianugerahkan Rector's List kerana berjaya menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.

Berkongsi perjalanan akademiknya, Adnan berkata walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah daripada Universiti Malaya pada 1975, beliau bertekad terus mengejar ilmu dalam bidang perundangan pula.

"Ramai orang tanya saya mengapa saya sambung belajar, sebenarnya saya daripada kecil suka mencari ilmu pengetahuan. Itulah sebab walaupun sudah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sastera, saya masih berminat untuk melanjutkan pelajaran.

Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986," katanya kepada pemberita pada majlis konvokesyen itu di Dewan Utama Pusat Kebudayaan, UIAM dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 itu berkata beliau seronok dikelilingi rakan-rakanya ketika sedang mengulang kaji pelajaran.

"Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi oleh kawan-kawan saya. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar," katanya.

Menurutnya beliau berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.

"Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi, saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak saya, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya," katanya berseloroh.

Apabila ditanya adakah beliau mempunyai perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: "Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, Insya-Allah,

Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang yang tertentu," katanya.

Adnan menyertai politik pada 1969 dan telah memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.

Beliau merupakan Menteri Besar Pahang yang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan