EKONOMI

Bajet 2023 akan diteliti semula dengan mengambil kira pandangan MOF dan Kabinet - PM Anwar

05/12/2022 04:45 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bajet 2023 akan diteliti semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kabinet kerajaan perpaduan yang baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau akan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta jemaah menteri bagi menambah baik Bajet 2023 yang sedia ada.

“Saya fikir sebahagian besar (daripada belanjawan itu) boleh diterima walaupun ramai yang membuat andaian bahawa saya akan menentang semua cadangan tersebut.

"Cadangan yang baik kita boleh teruskan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar menegaskan bahawa beliau akan menumpukan usaha untuk menguruskan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur.

“Banyak syarikat pelaburan dari India, China, Eropah serta Amerika Syarikat telah meminta temu janji untuk minggu akan datang, dan saya akan menumpukan pada menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya. 

Terdahulu hari ini, Anwar telah mempengerusikan mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama di Perdana Putra selepas pengumuman barisan Kabinet baharu yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri pada minggu lepas. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan