JENAYAH & MAHKAMAH

Ketua Balai Polis Didenda Rm6,500 Lepaskan Pemilik Premis Langgar Sop Pkp

06/12/2022 02:44 PM

MELAKA, 6 Dis (Bernama) -- Gara-gara menerima suapan daripada pemilik sebuah pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang bekas ketua balai polis berpangkat subinspektor didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Abdul Halim yang ketika itu Ketua Balai Polis Tengkera menerima suapan sebanyak RM6,000 daripada seorang pemilik sebuah pusat hiburan yang beroperasi di Kota Shahbandar, Banda Hilir bagi mengelak pemilik premis berkenaan dikenakan tindakan kerana melanggar PKP.

Abdul Halim didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 5 petang hingga 6.15 petang di Balai Polis Tengkera pada 11 Ogos 2020, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan