EKONOMI

EAIC JEMPUT ORANG RAMAI HADIR KE PROGRAM E.R.A.T DI PERAK

08/12/2022 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang melaksanakan program Encouraging, Responsiblity, Accountability, Trustworthy (E.R.A.T) peringkat zon utara di beberapa lokasi utama di Perak bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai fungsi dan peranan agensi itu, bermula semalam hingga Sabtu ini (7 hingga 10 Dis).

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu telah berlangsung di Padang Polo dan Dataran Ipoh semalam, manakala di Kuala Kangsar dan Batu Gajah pada 3 hingga 5 petang hari ini; Kolej Poly-Tech MARA dan Heritage Lane, Ipoh pada 3.30 hingga 5.30 petang (Jumaat) serta Kompleks Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, Kompleks Gopeng dan Teluk Intan pada 10 pagi hingga 12 tengah hari, Sabtu ini.

“Orang ramai dijemput hadir ke lokasi-lokasi tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai fungsi dan peranan EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] dan mengutarakan isu-isu berkaitan aduan salah laku pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.

“Untuk maklumat lanjut sila hubungi urus setia EAIC di talian pertanyaan 011-11101082 atau 019-383 1915,” menurut kenyataan itu.

EAIC turut memaklumkan, objektif utama program tersebut adalah untuk menggalakkan sikap kebertanggungjawaban masyarakat dalam melaporkan salah laku pegawai penguat kuasa, meningkatkan akauntabiliti agensi penguatkuasaan dan memupuk kepercayaan masyarakat terhadap agensi itu dalam usaha membanteras salah laku pegawai penguat kuasa dan membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam.

Selain daripada komitmen merakyatkan perkhidmatan, EAIC selaku badan pengawasan integriti itu menyeru masyarakat meningkatkan kepekaan serta keprihatinan terhadap isu-isu berkaitan salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam khususnya dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan, menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, perasmian program E.R.A.T EAIC telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim di Dewan Bankuet, Pejabat SUK Negeri Perak, semalam.

“Program E.R.A.T diadakan dengan kerjasama Pejabat SUK Negeri Perak yang telah dihadiri oleh 600 orang terdiri daripada Ketua Jabatan Agensi Penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Program ini juga dihadiri oleh agensi-agensi peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri pegawai daerah, penghulu mukim dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan