DUNIA

ADB lulus pinjaman AS$50 juta kepada Kemboja untuk program peralihan tenaga

15/12/2022 04:14 PM

PHNOM PENH, 15 Dis (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) yang berpangkalan di Manila meluluskan pinjaman AS$50 juta kepada Kemboja untuk menyokong program peralihan tenaganya, menurut kenyataan pada Khamis.

Program Pembangunan Sektor Peralihan Tenaga akan dibiayai menerusi pinjaman AS$40 juta daripada sumber konsesi ADB dan pinjaman AS$10 juta lagi daripada Dana Infrastruktur ASEAN di bawah Kemudahan Kewangan Hijau Pemangkin ASEAN, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

Program itu menyokong agenda peralihan tenaga kerajaan ke arah mengarusperdana tenaga boleh baharu serta kecekapan tenaga ketika beralih daripada bahan api fosil.

Menurut kenyataan itu, pelaburan dalam projek itu akan mempromosi teknologi baharu, termasuk pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri bersambung grid pertama negara, yang akan membolehkan sumber tambahan boleh baharu memasuki grid dan meningkatkan kestabilan grid elektrik untuk pengguna.

Pelaburan itu juga termasuk sistem lampu jalan cekap bandar yang komprehensif di wilayah Kampot dan Kep, yang akan menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada keselamatan pelancong dan orang awam.

Menerusi pembaharuan dasar itu, penjanaan elektrik boleh baharu menjelang 2027 dijangka meningkat sekurang-kurangnya 25 peratus daripada garis dasar 4,672 gigawatt jam pada 2021.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan