PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri akan turun memantau lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang berlaku awal pagi ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan disampaikan sendiri kepadanya oleh perdana menteri ketika dihubunginya pagi tadi.
“Sebelum kami masuk ke dewan (perhimpunan kementerian pagi ini), saya sempat bercakap sebentar dengan perdana menteri dan memang telah dikerahkan beberapa menteri untuk turun ke lokasi, timbalan perdana menteri akan susuli dan insya-Allah perdana menteri akan susuli malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanat Tahun Baharu ketika perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di sini, hari ini.
Beliau turut menghentikan seketika perhimpunan berkenaan untuk bertafakur bagi mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.
Dalam insiden kira-kira 2 pagi itu, 100 individu dipercayai terperangkap dan ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Fahmi berkata bantuan paling tepat yang boleh disumbangkan warga KKD ketika ini berkaitan insiden itu adalah dari segi menyampaikan berita yang benar dan sahih kepada masyarakat.
“Ini kerana macam-macam dalam sekelip mata boleh disampaikan melalui WhatsApp dan media sosial. Saya mulakan dengan peringatan semak sebelum sebar,” katanya.
Beliau berkata dua inisiatif di bawah KKD iaitu sebenarnya.my dan mycheck.my selain Jabatan Penerangan (Japen) memainkan peranan penting mengesahkan maklumat tular, yang kemudiannya disalurkan ke dalam sistem termasuk kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial