AM

TRANSFORMASI PENDIGITALAN FAKTOR LHDN TIDAK TERUSKAN AMALAN GAJI PEGAWAI KONTRAK

29/12/2022 06:43 PM

PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) -- Transformasi pendigitalan merupakan antara faktor Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian bermula 1 Jan 2023.

Menerusi kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan transformasi itu membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di LHDN diautomasikan seterusnya meningkatkan kos kecekapan dalam mentadbir sistem percukaian negara.

“LHDN memperkemaskan struktur organisasinya yang turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di LHDN.

“Proses automasi yang dilaksanakan oleh LHDN membolehkan tugasan yang selama ini dilaksanakan oleh pegawai kontrak dapat diagihkan kepada pegawai tetap sedia ada dan dapat dimanfaatkan secara optimum,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan secara dasarnya, pegawai kontrak digajikan bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik iaitu berasaskan projek.

Keputusan tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak itu dibuat pada 2018 dan diputuskan dilaksanakan secara sepenuhnya bermula 1 Jan 2023, penamatan melibatkan 42 pegawai kontrak bulanan dan 998 pegawai kontrak harian.

“Pemakluman berkenaan keputusan untuk tidak mengambil pegawai kontrak ini telah pun dijelaskan seawal 2022 kepada para pegawai yang terlibat.

“Ini bertujuan memberi ruang dan masa kepada pegawai yang terkesan untuk mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka,” demikian menurut LHDN.

LHDN menjelaskan tindakan untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi serta memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran.

Selain itu, LHDN memaklumkan hasil kutipan cukai langsung negara yang ditadbir oleh pihaknya tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak para pegawai seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Sekiranya cadangan ini diambil kira serta dilaksanakan ia bakal mengundang perspektif negatif pihak-pihak lain. Sebaliknya hasil kutipan langsung cukai negara perlu diagihkan sama rata demi kemakmuran serta kesejahteraan negara,” menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan kumpulan yang mewakili 967 pegawai LHDN yang menerima gaji harian dan berisiko hilang pekerjaan menjelang tahun baharu merayu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung kontrak mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan