AM

JPNP sentiasa pantau tahap keselamatan kawasan rekreasi di Pahang

31/12/2022 01:09 PM

KUANTAN, 31 Dis (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sentiasa memantau tahap keselamatan kawasan rekreasi selain menutup sementara beberapa lokasi di bawah pengurusannya pada musim tengkujuh sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung.

Pengarah Perhutanan Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata pihaknya juga akan memeriksa tahap keselamatan kawasan rekreasi berkenaan sebelum membenarkan orang ramai berkunjung ke lokasi itu selepas musim tengkujuh.

Beliau berkata seperti kelazimannya, Taman Eko Rimba (TER), Hutan Taman Negeri (HTN), kawasan pendakian dan semua jenis aktiviti ekopelancongan serta rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah pengurusan JPNP, adalah antara kawasan yang ditutup sementara setiap kali musim tengkujuh.

Menurutnya, kawasan pendakian dan semua jenis aktiviti rekreasi dalam HSK kini masih belum dibuka berikutan tahap keselamatan denai pendakian dan keadaan di lapangan perlu diperiksa terlebih dahulu.

“Antara perkara yang perlu disemak ialah pokok berbahaya misalnya pokok tumbang, dahan patah, tanah runtuh dan jalan akses atau pendakian terputus,” katanya ketika dihubungi. 

Sebanyak 26 TER dan HTN di Pahang diarahkan tutup sejak 1 Nov lepas dan JPNP tidak mengeluarkan permit bagi aktiviti riadah.  

Menurut Mohd Hizamri, semua TER dan HTN akan dibuka semula bermula 4 Jan tahun depan berikutan musim tengkujuh di negeri ini semakin reda, namun kawasan pendakian dan aktiviti rekreasi dalam HSK masih belum dibuka kepada orang ramai.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan segera jika ada sebarang perubahan cuaca atau keadaan persekitaran setelah TER dan HTN dibuka nanti,” katanya.

Beliau berkata TER Mossy Forest di Cameron Highlands yang ditutup berikutan kejadian tanah runtuh telah dibuka selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) membaiki jalan akses dan cerun yang berbahaya.

"Namun atas faktor keselamatan, pengunjung dinasihatkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda daripada operator swasta di sekitar Cameron Highlands untuk ke sana," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga makanan di Bukit Fraser yang hanya dikenali sebagai Ita, 48, berkata pusat peranginan itu kini suram dengan kehadiran pelancong sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Beliau berpandangan keadaan jalan yang rosak selain kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa baru-baru ini, mungkin menyebabkan orang ramai mengubah pelan percutian mereka pada musim hujan.  

"Bila (keadaan) jalan teruk, orang mungkin takut untuk datang kerana tidak mahu merisikokan diri. Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan segera untuk menarik kedatangan pelancong yang dapat meningkatkan semula pendapatan kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan