AM

DUA BERADIK RENTUNG DALAM KEBAKARAN DI GOMBAK - BOMBA

02/01/2023 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut ialah Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan berusia tujuh tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi dan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak telah diarahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian berdasarkan keadaan mayat. Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazam berkata ketika kejadian, ibu bapa mangsa tidak berada di rumah dan pintu rumah telah dikunci.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat dua kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya ibu bapa kanak-kanak yang maut dalam kebakaran itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan