Oleh M. Saraswathi
DAVOS (Switzerland), 19 Jan (Bernama) -- Intel Corporation (Intel Corp), pengeluar cip yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) telah mengulangi komitmennya dengan pelaburan lebih RM30 bilion untuk mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan di Intel serta lebih 5,000 pekerjaan dalam bidang pembinaan,” kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Saya menyambut baik komitmen diberikan Intel dan kerjasama seumpamanya akan diteruskan dengan syarikat-syarikat lain dalam usaha meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya selepas bertemu Ketua Pegawai Operasi Global Intel Kevyan Esfarjani di sini.
Intel merupakan syarikat pengeluar semikonduktor terbesar di dunia dan antara perintis industri E&E di Malaysia, operasi syarikat itu bermula pada tahun 1972.
Pada 2021, Intel Corp mengumumkan pelaburan untuk membina kilang pembungkusan dan ujian cip baharu di Malaysia yang dijangka memulakan operasi pada 2024.
Selain itu, Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Presiden P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Suranjan Magesvaran serta Naib Presiden Hubungan Kerajaan Global dan Dasar Awam, P&G Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Cecilia Tan.
“P&G juga memberi komitmen untuk melabur lebih banyak di Malaysia. Kami juga membincangkan peluang-peluang di Malaysia,” katanya.
Zafrul berkata Malaysia juga akan menerima satu lagi pelaburan besar dalam sektor logistik.
“Saya akan berjumpa dengan mereka. Ia merupakan hari yang produktif, saya juga akan bertemu beberapa rakan sejawatan saya dari rantau tersebut,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O’Connor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Antwerp-Bruges Jacques Vandermeiren.
Terdahulu, awal hari ini beliau menghadiri satu sesi tertutup, ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ (Perdagangan Global: Mengemudi Cabaran Rantaian Bekalan Pasca Pandemik).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial