JENAYAH & MAHKAMAH

Elak kongsi maklumat operasi SJR di aplikasi Waze - Polis

28/01/2023 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat operasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pasukan itu menerusi aplikasi Waze.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata tindakan itu, hanya akan menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan pelbagai kesalahan trafik lain.

Azmi berkata pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan kecuaian daripada pemandu mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan sebagainya.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah-pesalah trafik, tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar orang ramai terutamanya pengguna jalan raya, memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya ketika berucap pada program ‘High Profile Policing’ di Wonderland Park, Taman Sri Murni, di sini malam ini.

Terdahulu, Azmi bersama Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dan Pengerusi Eksekutif JL 99 Group Datuk Seri Jeff Lee, menghadiri program ‘High Profile Policing’ bagi menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap jenayah yang berlaku, selain meningkatkan tahap kesedaran serta keselamatan komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan