AM

Pembukaan tanah di Taman Negeri Selangor untuk pelaksanaan projek ECRL - Exco

04/02/2023 12:55 PM

SHAH ALAM, 4 Feb (Bernama) -- Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mendapati dakwaan aktiviti pembukaan tanah dalam kawasan Taman Negeri Selangor, sebenarnya merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata JPNS telah mengeluarkan kebenaran melalui Permit Penggunaan untuk pelaksanaan projek berkenaan di kawasan hutan simpanan kekal pada Julai 2022. 

Beliau menjelaskan pelaksanaan ECRL umumnya telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Sept 2021 dan dipersetujui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) Ke-19 pada 21 Okt 2021. 

Selain itu katanya, kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 24 Nov 2021 juga bersetuju dengan Cadangan Pindaan Asal Jajaran Seksyen C meliputi kawasan dari Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

Katanya pelaksanaan ERCL di negeri tersebut disyaratkan untuk mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal berkaitan. 

"Sebagai rekod, kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Seksyen C2 (Gombak- Serendah-Pelabuhan Klang) diperoleh oleh pihak Malaysia Rail Link (MRL) pada 30 Nov 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan berkenaan dakwaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengenal pasti berlakunya aktiviti pembukaan dan pembersihan tanah yang melibatkan empat kawasan dalam Taman Negeri Selangor.

Hee berkata kerajaan Selangor berpendirian bahawa projek ECRL tersebut wajar untuk dilaksanakan memandangkan ia akan menyumbang kepada kepentingan kesejahteraan masyarakat selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

"Sehingga kini, pelaksanaan projek ECRL di kawasan Taman Negeri Selangor sentiasa dikawal supaya mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan