DUNIA

Tentera Udara Colombia lapor kehadiran belon serupa seperti di Carolina Selatan

05/02/2023 04:41 PM

RIO DE JANEIRO, 5 Feb (Bernama) -- Ketika ketegangan semakin memuncak antara Washington dan Beijing berhubung insiden menembak jatuh objek yang didakwa pegawai Amerika Syarikat sebagai ‘belon pengintip China’, Colombia melaporkan kehadiran objek serupa di ruang udaranya.

Sistem pertahanan udara negara mengesan objek pada ketinggian sekitar 17,000 meter memasuki ruang udara negara itu pada pagi Jumaat, Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik kenyataan tentera udara Colombia pada Sabtu.

Objek itu bergerak pada kelajuan purata kira-kira 46 kilometer sejam, memiliki "ciri yang serupa dengan belon."

Tentera Udara Colombia mengesan objek itu menerusi sistem pertahanan negara sehingga ia meninggalkan ruang udaranya. 

Ia tidak menimbulkan "ancaman kepada keselamatan dan pertahanan negara, mahupun keselamatan udara," menurut tentera udara.

Pihaknya kini bekerjasama dengan negara lain untuk menentukan asal usul objek itu.

Tentera AS pada Sabtu menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip China di luar pantai Carolina Selatan.

Bagaimanapun, Beijing mendakwa bahawa ia adalah belon penyelidikan awam yang menyimpang dari laluan asal.

Pada Jumaat, jurucakap Jabatan Pertahanan AS Pat Ryder berkata belon kedua telah dikesan di Amerika Latin, tanpa memberikan butiran lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan