AM

Pendekatan 'merakyat' lonjak populariti Anwar di persada antarabangsa

08/02/2023 11:52 PM

BANGKOK, 8 Feb (Bernama) -- Pendekatan ‘merakyat’ Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan beliau dihormati dan sentiasa mendapat perhatian di persada antarabangsa, khususnya ketika melakukan lawatan rasmi ke luar negara.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata populariti Anwar jelas terlihat ketika lawatan rasmi perdana menteri baru-baru ini ke Indonesia, Brunei dan Singapura iaitu beliau mendapat sambutan meriah dalam kalangan diaspora Malaysia dan juga rakyat tempatan.

Beliau berkata Anwar yang merupakan seorang tokoh antarabangsa terutama di ASEAN serta sentiasa aktif dalam hal ehwal Islam serta hubungan antarabangsa, menyebabkan beliau popular dan disegani.

Zambry memberi contoh ketika lawatan rasmi ke Indonesia, ramai hadir untuk mendengar ucapan Anwar pada satu majlis kerana beliau sangat dihormati oleh masyarakat antarabangsa khususnya di ASEAN.

“Ketika lawatan rasmi, beliau (Anwar) akan mencari dan menjemput rakyat Malaysia untuk bersama dan  mendengar suara mereka.

“Pada masa yang sama, beliau akan menyampaikan pandangan beliau tentang kedudukan negara,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Thailand.

Anwar akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand selama dua hari bermula esok untuk bertemu rakan sejawatnya Prayuth Chan o-cha, bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala yang mempunyai kepentingan bersama, di samping meneroka peluang kerjasama baharu.

Anwar dijangka akan menunaikan solat Jumaat di Islamic Centre of Thailand. 

“Masyarakat Islam di sini juga teruja dengan lawatan rasmi perdana menteri yang akan bermula esok. Ini satu petanda baik dalam konteks hubungan kedua-dua negara,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan