SUKAN

MUHAMMAD ZIYAD, ABDUL LATIF RAIH EMAS DI GP OLAHRAGA PARA DUNIA TUNISIA

09/02/2023 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Dua jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli dan Datuk Abdul Latif Romly berada dalam kelas tersendiri apabila meraih pingat emas pada hari terakhir Grand Prix Olahraga Para Dunia 2023 di Stadium Olahraga Rades, Tunis, Tunisia semalam.

Menerusi laman sesawang kejohanan, https://2023.npctunisia.tn/, Muhammad Ziyad, pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 dan dua kali juara dunia pada 2013 dan 2017, melakukan lontaran sejauh 15.93 meter (m) pada aksi final acara lontar peluru F11/12/20 (masalah pembelajaran). 

Balingan penuh bertenaga itu mengetepikan pesaing dari Uzbekistan Elbek Sultanov yang mencatat 14.16m manakala gangsa milik atlet Tunisia Amir Soltane dengan 10.51m. 

Sementara itu, Abdul Latif Romly yang muncul juara Paralimpik dua kali pada 2016 dan 2020, nyata unggul apabila mencatat 6.90m dalam acara lompat jauh T13/20 (masalah intelektual), meninggalkan pencabar dari Arab Saudi Hassan Dawshi yang merekodkan 6.08m untuk perak. 

Mohamed Camara dari Guiena terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa setelah melakukan lompatan 5.12m.

Kejayaan menambah dua pingat emas pada hari terakhir kejohanan itu menyaksikan kontinjen negara cemerlang dengan membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak. 

Isnin lepas, pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi membuktikan masih berbisa apabila merangkul emas acara 100m T35/36 (kecacatan fizikal). 

Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah pula berjaya meraih perak bagi acara 100m T11/12 (masalah penglihatan) dengan mencatat masa 11.67s.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan