AM

UITM, MBSB BANK JALIN KERJASAMA TUBUH KAMPUS DIGITAL DI PUNCAK ALAM

14/02/2023 08:46 PM

SHAH ALAM, 14 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FBM) hari ini menjalin kerjasama dengan MBSB Bank Bhd untuk menjadikan universiti itu sebagai kampus digital dengan kampusnya di Puncak Alam, Kuala Selangor dipilih selaku perintis.

Dalam kenyataan hari ini, Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor berkata penubuhan kampus digital itu merupakan objektif utama bagi kerjasama yang dijalinkan antara UiTM dan MBSB Bank melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini. 

Katanya MBSB Bank akan menjadi tulang belakang bagi menjayakan usaha pendigitalan kampus menerusi kolaborasi dengan FBM yang merupakan fakulti pengurusan dan perniagaan terbesar di Malaysia yang juga berpangkalan di Kampus Puncak Alam.

Beliau berkata MoU itu juga ditandatangani bagi memperkasa pendidikan kewangan menerusi program-program pembelajaran dan pengurusan kewangan untuk pembangunan akademik dan perniagaan selain merupakan satu inisiatif jangka panjang strategik UiTM 2025. 

MoU tersebut dimeterai oleh Roziah bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib sambil disaksikan oleh Dekan FBM, Prof Dr Firdaus Abdullah bersama Ketua Perniagaan Digital MBSB Bank, Zainul Abidin Mustafa di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam hari ini.

“Kerjasama ini dapat melebar luas dan merancakkan bidang digital, ekonomi lestari, akademik dan penyelidikan antara kedua-dua pihak, serta menjadikan UiTM sebagai pemacu dalam teknik penyampaian dan perkhidmatan universiti yang lebih berkesan seiring dengan tuntutan kemajuan teknologi semasa,” katanya.

Sementara itu, Nor Azam berkata pihaknya giat menjalankan pelbagai program pendidikan kewangan untuk generasi muda serta pengusaha perniagaan kecil dan sederhana bagi membantu membuat keputusan kewangan yang bijak.

"Dengan pengalaman yang melangkaui beberapa dekad serta pengalaman UiTM yang merupakan institusi pendidikan negara yang ditubuhkan semenjak 1956, kami yakin kerjasama ini akan dapat untuk turut membantu dalam pembangunan modal insan menerusi para graduan yang holistik dengan kebolehpasaran yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan