AM

Selangor akan bela nasib 89 keluarga terbabit laluan ECRL - MB

18/02/2023 04:29 PM

PELABUHAN KLANG, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memastikan nasib 89 keluarga yang dijangka terbabit dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terbela.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata selain 89 keluarga di Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh dekat sini, pihaknya juga mengenal pasti 86 lot kubur yang terkesan bagi laluan projek sama.

"Pembinaan laluan (ECRL) di lokasi itu mungkin bermula pada 2025 atau 2026, maka kita (Kerajaan Selangor) mempunyai masa untuk berbincang dengan pihak tertentu. Kalau laluan tidak dialih, kita akan bagi rumah sesuai supaya hidup penduduk tidak terganggu… kerajaan negeri sedaya upaya elakkan laluan ini tetapi tidak ada jalan lagi.

“… Saya pegang janji saya. Kita akan kenal pasti penyelesaian terbaik. Sementara ada masa ini, kita juga kenal pasti kawasan perumahan mana yang dibangunkan, yang mana kita boleh ganti tanah, rumah atau beli rumah dengan kos tertentu,” katanya berucap pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) di Pangsapuri Seri Perantau di sini hari ini.

Laluann ECRL di Selangor melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid bahawa Selangor dan Sabah masih belum mengembalikan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), Amirudin menegaskan negeri itu tidak membuat sebarang pinjaman dengan KWAN bagi pembelian vaksin. 

Beliau berkata sebaliknya Selangor menggunakan dana daripada tabung yang dimiliki kerajaan negeri.

"Saya rasa ada khilaf tentang itu (kenyataan). Kira-kira RM100 juta kita keluarkan (daripada tabung negeri) dan saya tidak rasa pembelian vaksin itu dibuat menerusi KWAN. 

"...yang kita terima adalah wang (peruntukan) daripada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) bagi pengurusan tempat vaksin untuk kita sediakan dewan, makanan dan baik pulih beberapa kemudahan tempat untuk PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan). Ia bukan pinjaman tetapi pemberian daripada MOSTI.

"Masih ada baki RM41 juta (pemberian MOSTI), kita akan pulangkan kepada Kementerian kewangan sebab itu memang peruntukan yang diberikan kementerian dan kita boleh pulangkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan