AM

K'jaan bina laluan pejalan kaki berpagar hubung ICQS, Stesen Kereta Api Padang Besar

25/02/2023 02:44 PM

PADANG BESAR, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan menerusi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan membina laluan pejalan kaki berpagar sementara bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dengan Stesen Kereta Api Padang Besar.

Ini berikutan jejantas sedia ada ditutup sejak September 2020 atas faktor keselamatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan telah bersetuju dengan pembukaan laluan itu bagi memudahkan orang ramai khususnya pengembara.

“RAC kini dalam proses akhir memilih kontraktor yang layak bagi projek yang dianggarkan bernilai RM300,000 itu dan projek tersebut dijangka mampu disiapkan dalam masa empat bulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks ICQS Padang Besar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Taib.

Beliau berkata Padang Besar merupakan pintu masuk kedua tersibuk di sebelah utara selepas Bukit Kayu Hitam di Kedah dan kemasukan pelancong mula mencecah lebih satu juta orang selepas pandemik COVID-19.

Katanya penutupan jejantas itu telah menimbulkan kesukaran kepada pengembara kerana mereka terpaksa menaiki teksi dari Stesen Kereta Api Padang Besar untuk ke pekan Padang Besar.

“Kita harap pembinaan laluan pejalan kaki berpagar sementara ini dapat memudahkan orang ramai dan membantu merancakkan semula ekonomi di Padang Besar,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata projek itu hanya langkah sementara kerana kerajaan akan membina satu jambatan baharu menghubungkan Kompleks ICQS Padang Besar ke Stesen Kereta Api Padang Besar dengan kos tiga juta ringgit.

Sementara itu beliau berkata KDN telah membuat pemohonan kepada Kementerian Ekonomi untuk pembangunan infrastruktur di pintu sempadan Wang Kelian, namun belum berhasil.

“KDN masih belum membuat keputusan mengenai pembukaan semula laluan bebas di Wang Kelian sebaliknya akan membuat keputusan jika ada pembangunan infrastruktur terlebih dahulu kerana kita mahu kedua-duanya berjalan serentak,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan