EKONOMI

Skim Insentif Pemampanan Pengeksport akan perkukuhkan perniagaan - EXIM Bank

27/02/2023 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Skim Insentif Pembangunan Pengeksport atau “Skim Insentif Pemampanan Pengeksport” (SIP2) yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 akan mengukuhkan perniagaan serta membangunkan perniagaan usahawan tempatan atau pengeksport ke peringkat antarabangsa, kata Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).

"Kami berharap dapat membantu pengeksport mencapai aspirasi rentas sempadan mereka dengan skim ini yang akan membantu mereka," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Arshad Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata di bawah skim SIP2 berjumlah RM1 bilion itu, EXIM Bank bersedia menawarkan bantuan pembiayaan pengeksport iaitu Insentif Pembiayaan.

“Pembiayaan diberikan sehingga RM10 juta manakala kadar pembiayaan dikurangkan sebanyak 1.5 peratus sehingga tujuh tahun,” katanya.

Beliau berkata kadar pembiayaan yang berpatutan akan menggalakkan pengeksport mencari pasaran baharu bagi produk mereka dan seterusnya meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai syarikat pengeksport bagi tempoh jangka panjang.

“Ia juga akan membantu pengeksport mengurangkan kos operasi mereka dan pada masa sama meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Peruntukan Belanjawan 2023 disemak naik kepada RM386.14 bilion daripada RM372.3 bilion bajet pada Oktober 2022.

Daripada jumlah tersebut, perbelanjaan pengurusan dijangka berjumlah RM289.1 bilion manakala perbelanjaan pembangunan ialah RM99 bilion dan RM2 bilion untuk perbelanjaan yang tidak dijangka.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan (MITI) menyambut baik peruntukan RM1.585 bilion untuk kementerian dan agensi MITI yang tertumpu kepada tiga bidang utama seperti pembangunan industri, perdagangan antarabangsa dan pelaburan domestik dan asing yang kekal penting kepada kementerian dalam mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, menambah baik rantaian bekalan global dan memperkasakan pembangunan modal insan Malaysia.

Antara inisiatif utama dalam Belanjawan 2023 untuk MITI mencapai objektifnya ialah pinjaman mudah dan skim untuk PKS bernilai RM3.5 bilion yang akan diagihkan oleh pelbagai agensi termasuk EXIM Bank.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan