AM

JADIKAN BIDANG KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA UTAMA - AHMAD MASLAN

22/03/2023 12:13 AM

PETALING JAYA, 21 Mac (Bernama) -- Bidang keusahawanan perlu dijadikan kerjaya utama rakyat di negara ini dalam meningkatkan pendapatan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata menerusi bidang berkenaan rakyat mudah memperoleh pendapatan tinggi dan dapat membantu membangunkan serta memajukan negara. 

"Negara lain maju kerana rakyatnya ramai jadi usahawan. Semakin ramai usahawan di sesebuah negara lagi cepat negara itu maju," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Prapelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2023 di sini, malam ini. 

Ahmad berkata apa yang berlaku sekarang ada pemegang ijazah tetapi mendapat gaji taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kita nak rakyat Malaysia pilih usahawan sebagai kerjaya utama," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dalam usaha untuk mewartakan Hari Usahawan Negara (HUN) sebagai acara rasmi di negara ini. 

Beliau berkata cadangan itu akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat pertimbangan dan persetujuan kerajaan bagi mewartakan ketetapan tarikh sambutan HUN.

“Usaha DPUKM kini untuk HUN diiktiraf sebagai satu acara rasmi negara seperti  Hari Sukan Negara, Hari Belia, Hari Guru, Hari Pekerja dan sambutan rasmi hari-hari lain,” katanya. 

HUN 2023 akan diadakan pada 28 hingga 30 Julai ini di Dataran Putrajaya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan