AM

Yayasan RYTHM anjur konvensyen komuniti Orang Asli Jun ini

23/03/2023 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Yayasan RYTHM dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti-universiti tempatan, julung kalinya akan menganjurkan konvensyen yang memfokuskan pada isu dan cabaran dihadapi komuniti Orang Asli (OA) di Malaysia, pada 20-22 Jun ini.

Ketua yayasan itu Santhi Periasamy berkata konvensyen itu bertujuan menyebar luas kesedaran mengenai keperluan mendesak OA di Malaysia bagi menjalani kehidupan yang baik dan maju.

“Konvensyen itu akan merangkumi perbincangan meja bulat, forum dengan barisan ahli panel terdiri daripada pihak berkuasa dalam pelbagai bidang berkaitan pembangunan komuniti OA, pembentangan projek oleh pihak berkepentingan dan dialog bersama mahasiswa daripada komuniti OA, antara acara yang bakal diadakan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Santhi turut memaklumkan pelbagai projek yayasan itu tahun ini, termasuk Jaguh RF, sebuah projek dengan kerjasama yayasan pakar sukan Yayasan Asa yang mengetengahkan peluang kerjaya sukan kepada remaja dan akan dilancarkan bulan depan.

“Kami juga akan melancarkan Maharani Learning Lab yang akan bertempat di Damansara Damai untuk kanak-kanak perempuan daripada keluarga B40 untuk mendedahkan mereka kepada kemahiran kontemporari, kemahiran teknologi maklumat seperti pengkodan, robotik, selain kemahiran insani dan program komunikasi.

“Program itu akan berlangsung selama tujuh hari iaitu remaja perempuan akan hadir pada hari biasa serta hari minggu untuk mempelajari kesemua kemahiran ini dan kami sedang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan yang baik, yang boleh datang dan mengajar mereka. Kami berharap untuk melancarkannya pada suku ketiga tahun ini,” tambahnya,

Santhi berkata yayasan itu akan turut melancarkan Program Anak Angkat Komuniti (CAP) Orang Asli September ini, di Perak, susulan ia telah mencapai matlamatnya di Sabah dan Pahang.

Menurut Santhi, program tiga tahun itu menumpukan pada bantuan akademik untuk murid sekolah rendah serta pembangunan belia bagi memperkasa golongan itu dengan kemahiran hidup dan perniagaan.

Santhi berharap pihak kerajaan akan memberi sokongan dan penghargaan terhadap program-program yayasan itu di sekolah serta projek lain pada masa akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan