KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Yayasan Prudence dan Hopes Malaysia yang mengerakkan Program Keterjaminan Makanan PRUCare, bagi membantu 310 penerima daripada 60 keluarga di Kota Belud, Sabah.
Program itu bertujuan bagi membangunkan teknik pertanian berskala kecil untuk meningkatkan kadar pengeluaran makanan dan dalam masa yang sama menjana pendapatan yang lestari untuk komuniti yang kurang bernasib baik.
PAMB dalam satu kenyataan hari ini, yang menandakan penutup kepada Fasa Satu program tersebut yang bermula Februari tahun lepas, dengan dana berjumlah RM270,000 dengan keluarga tersebut diberikan latihan, untuk mengusahakan ladang sayur dan kolam ikan mereka sendiri, untuk dijual hasilnya.
“Selain peningkatan sekuriti makanan, keluarga terbabit menyaksikan peningkatan ketara pendapatan mereka dengan purata 55 peratus, manakala Fasa Kedua program ini akan bermula 1 April dengan penglibatan 30 keluarga di Kota Belud selama setahun, dengan jumlah pembiayaan RM120,000,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai pemasaran dan pengedaran perkongsian PAMB Eric Wong berkata sekuriti makanan dan sumber pendapatan bagi kebanyakan keluarga telah terkesan ketika COVID-19, terutamanya kepada mereka daripada latar belakang yang kurang bernasib baik.
“Oleh itu matlamat program ini ialah membantu keluarga terbabit untuk bukan sahaja meningkatkan kemampuan mereka mendapatkan makanan dan nutrisi, tetapi juga menyediakan sumber pendapatan tambahan secara lestari, yang memberi kesan positif kepada keluarga dan komuniti mereka untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata tujuan Prudential adalah untuk membina daya tahan kewangan kepada keluarga dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.
Dengan memperkasakan komuniti dengan rakan kongsi kami, kami memastikan kehidupan lestari, yang akan meningkatkan pendapatan keluarga secara beransur-ansur dan memberi peluang kepada generasi akan datang, untuk keluar daripada kitaran kemiskinan,” kata Eric.
Program Keterjaminanan Makanan PRUCare merangkumi tiga bahagian iaitu untuk pengajaran teknik dan pengetahuan untuk menjaga ladang sayuran dan kolam ikan; untuk menyediakan anak benih permintaan tinggi, anak ikan dan peralatan penternakan, serta menyediakan platform untuk petani menjual hasil mereka di pasaran.
Selain itu, 22 sukarelawan Prudential Wealth Planners selama 176 jam telah bersama-sama pada sepanjang program itu untuk membantu petani membuat penyediaan ladang untuk menanam, menyediakan tangki ikan dan penyemaian benih.
Kihin Gudan, 57, seorang daripada peserta projek dari Kampung Pinolobuh berkata sebelum menyertai program ini, beliau merupakan penyedia makanan tunggal untuk anak-anaknya dengan pendapatan sekitar RM300 sebulan.
Sepanjang program itu, Kihin berkata beliau belajar bagaimana untuk meningkatkan kesuburan tanah dan meningkatkan hasil tanaman, dan berjaya menjual hasil tuaiannya di pasar tempatan dengan pendapatan keluarganya meningkat kepada lebih RM3,000 sebulan iaitu satu peningkatan 90 peratus.
“Kami boleh makan seberapa banyak sayur-sayuran yang kami mahu sekarang. Kami tidak lagi pernah lapar. Sebelum ini saya tidak dapat meluangkan masa membuat beg, tetapi sekarang saya kurang risau,” kata Kihin yang kini boleh melakukan penghasilan kraf selain bercucuk tanam.
Duliam Kuliat, 62, dari Kampung Bukid berkata pemakanan 11 ahli keluarganya kini bertambah baik dengan bekalan ikan dan tanaman, di samping mengurangkan jumlah perbelanjaan untuk makanan setiap bulan.
Beliau berkata dengan menjual hasil yang lebih, keluarganya kini memperolehi 70 peratus lebih pendapatan setiap bulan.
“Setiap bulan kami boleh menyimpan sedikit wang untuk kecemasan atau pelajaran anak-anak saya. Saya berasa kurang tertekan sekarang jika sesuatu berlaku pada masa hadapan,” kata Duliam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial