AM

RAJA PERMAISURI AGONG RASMI MASJID TUNKU AZIZAH ISKANDAR DI BENTONG 

26/03/2023 10:11 PM

BENTONG, 26 Mac (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan dan menamakan semula Masjid Kampung Baru di sini sebagai Masjid Tunku Azizah Iskandar sempena nama baginda.

Turut berangkat ke majlis itu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Azizah ketika bertitah menzahirkan penghargaan kerana diberi penghormatan merasmikan dan menamakan masjid itu, yang mula digunakan pada 2020 membabitkan kos sebanyak RM5 juta.

“(Terima kasih) Kepada kerajaan negeri juga kerana membina masjid yang begitu cantik ini,” titah baginda yang turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih di masjid berkeluasan kira-kira 0.60 hektar yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun ketika berucap pula memaklumkan dalam tempoh lima tahun bermula 2018, sebanyak 15 masjid baharu siap dibina di negeri itu membabitkan peruntukan RM58.4 juta.

Beliau berkata masih terdapat 16 masjid dalam pembinaan dengan peruntukan RM47.1 juta manakala 17 lagi akan dibina membabitkan kos sebanyak RM80 juta. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan