AM

Johor Kembali Dilanda Banjir, Enam PPS Dibuka Di Segamat

28/12/2025 11:05 PM

JOHOR BAHRU, 28 Dis (Bernama) -- Johor kembali dilanda banjir hari ini membabitkan daerah Segamat, dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat 10 malam bagi menempatkan 103 mangsa daripada 32 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Batu Badak yang menempatkan 40 mangsa daripada 12 keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Tasek (dua mangsa daripada dua keluarga) dan Balai Raya Kampung Jabi (lima mangsa daripada satu keluarga).

“Turut dibuka ialah PPS Balai Raya Kampung Paya Lebar yang menempatkan 16 mangsa daripada enam keluarga, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (10 mangsa daripada empat keluarga) serta Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil yang menempatkan 30 mangsa daripada tujuh keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua PPS berkenaan mula beroperasi pada 8 malam tadi susulan paras air sungai yang meningkat.

Menurutnya, dua sungai telah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 20 meter serta Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor, Tangkak yang merekodkan bacaan 4.11 meter.

Sementara itu, keadaan cuaca di semua daerah di Johor dilaporkan cerah kecuali Mersing yang mengalami hujan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan