KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Jumlah kekuatan anggota dan pegawai polis di seluruh negara setakat 28 Feb lepas adalah seramai 134,978 orang dan jumlah itu dilihat tidak mencukupi dengan mengambil kira kepesatan pembangunan serta pertambahan penduduk.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata masalah kekurangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bukan hanya disebabkan kekurangan perjawatan tetapi juga masalah pengisian perjawatan kosong.
“PDRM ketika ini sedang dalam kajian untuk pengoptimuman perjawatan secara menyeluruh bagi Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai-balai polis.
“Menerusi kajian yang dijalankan, jumlah perjawatan ideal bagi semua peringkat sedang dikenal pasti bagi memastikan tiada masalah kekurangan perjawatan yang boleh mengganggu keberkesanan operasi, kekal relevan serta selari dengan dasar pengoptimuman sumber manusia perkhidmatan awam.
“Hasil kajian itu, PDRM telah membuat unjuran keperluan perjawatan baharu untuk balai-balai adalah sebanyak 4,940 perjawatan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kementerian berkenaan di Dewan Negara hari ini.
Selain itu, katanya PDRM juga telah mencadangkan perjawatan mengikut balai kategori A, B, C dan D yang ditentukan berdasarkan fasaliti balai, jumlah penduduk, jenayah indeks, jumlah laporan polis, jumlah sasaran penting dan ekonomi setempat.
Sementara itu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen mendapati pelaksanaan Quick Response Team (QRT) di di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tambak Johor telah berjaya mengawal kesesakan berlaku, terutama pada waktu puncak.
Shamsul Anuar berkata hasil kajian tersebut menunjukkan QRT mampu meningkatkan jumlah pelepasan imigresen dengan kadar signifikan iaitu peningkatan 76 peratus di BSI dan 40 peratus di KSAB.
“Selain itu BSI juga telah menjalankan kajian dalam tempoh pelepasan di dewan pas BSI dengan kapasiti penuh 4,000 orang.
“Kajian itu mendapati selepas pelaksanaan QRT berserta kemudahan pagar automatik untuk rakyat Singapura, tempoh menunggu telah dikurangkan kepada tiga jam daripada empat hingga lima jam sebelum tempoh pelaksanaannya,” katanya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial