LIPIS, 13 April (Bernama) -- Menyantuni rakyat dalam siri lawatan ke beberapa negeri pada bulan Ramadan meninggalkan kenangan manis buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan atas segala persiapan yang dilakukan oleh pihak yang terlibat ketika kunjungan baginda di negeri berkenaan.
"... banyak kenangan manis khususnya bila mengunjungi bazar Ramadan kerana beta dapat menyantuni rakyat setempat khususnya di Labuan, Melaka dan Pulau Pinang yang amat beta hargai... beta dan Raja Permaisuri serta anakanda dapat berkenalan dan bersalaman (dengan rakyat) dan sedikit sebanyak dapat eratkan silaturahim.
“Beta sebagai Sultan Pahang, mewakili orang Pahang, rapatkan silaturahim dengan orang Labuan, Melaka dan Pulau Pinang," titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Benta di sini yang kemudian dimasyhurkan sebagai Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Ketika bertitah, Seri Paduka sekali lagi mengingatkan bahawa kesucian, kemuliaan dan keharmonian institusi masjid perlu terus dipertahan dengan menjadikan ia sebagai tempat beribadah semata-mata.
"... Jangan sentuh hal peribadi, politik dan perkara lain... di luar pagar masjid, terpulang pada budi bicara sendiri… Pihak pentadbir masjid perlu awasi mana-mana pihak nak ambil peluang bagi ceramah dan ajaran yang kurang memuaskan... saya harap semua yang ingin berceramah di Pahang harus dapat tauliah," titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan agar setiap masjid dan surau di Pahang ditadbir urus sebaik mungkin dengan pelbagai kelas agama serta aktiviti keagamaan di samping dapat menyatukan penduduk setempat.
Masjid Al-Sultan Abdullah, yang berkeluasan lebih tiga hektar, siap dibina pada 17 Mac 2020 dengan kos sebanyak RM9.7 juta dan mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Pada majlis itu, Seri Paduka berdua berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan memerlukan sebelum berbuka puasa bersama penduduk daerah ini dan menunaikan solat Maghrib berjemaah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial