KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Tiga individu termasuk seorang wanita didakwa di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dalam perbicaraan kes sivil.
Dua ahli perniagaan, Wong Fook Lin, 57, dan Ng Wai Pin, 58, serta kerani, Wong Yok Yen, 56, masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nadia Othman, Illi Marisqa Khalizan dan Nurul Izzah Shaharuddin.
Mengikut pertuduhan, Fook Lin didakwa mengemukakan dokumen palsu di perenggan 2 muka surat 328 dalam nota keterangan volum 1 pada prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di sini, pada 1 Julai 2015.
Ng pula didakwa mengemukakan dokumen palsu di perenggan 2 muka surat 175 dalam afidavit volum 1 di lokasi sama, pada 12 Feb 2008, manakala Yok Yen didakwa mengemukakan dokumen palsu di perenggan 8 muka surat 116 dalam nota keterangan volum 2 di tempat sama, pada 20 Okt 2015.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Fook Lin diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 6 Jun, manakala Ng dibenarkan jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes pada 8 Jun.
Sementara Yok Yen dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan sebutan kes pada 1 Jun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi, Nidzuwan Abd Latip dan Nur Diana Mohamad Saad manakala Fook Lin dan Yok Yen diwakili peguam Kitson Foong dan peguam Wong Hong Yee mewakili Ng.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial