AM

MCMC Akan Ambil Tindakan Terhadap Papagomo Susulan Dakwaan Palsu Sekat Laporan

09/04/2026 04:41 PM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris susulan dakwaan palsu bahawa suruhanjaya itu menyekat laporan mahkamahnya melibatkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini menegaskan dakwaan oleh Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai “Papagomo” itu adalah tidak benar dan sama sekali tidak berasas.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya tidak terlibat dalam kes berkenaan dan tidak pernah mengeluarkan sebarang permohonan atau arahan untuk menyekat kandungan tersebut kepada mana-mana organisasi media atau platform digital.

“Sehubungan itu, MCMC akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap Wan Azri berhubung penyebaran dakwaan palsu tersebut,” menurut kenyataan tersebut.

MCMC turut menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang boleh mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

Menurut suruhanjaya itu tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan