ALOR SETAR, 26 April (Bernama) -- Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita secara berasingan semalam, dipercayai terlibat dalam kes melarikan seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kesemua suspek berusia 39 hingga 43 tahun itu ditahan di lokasi sekitar Alor Setar, Changlun dan Jitra pada sebelah pagi dan malam tadi.
“Polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun pada awal pagi semalam dan susulan tangkapan pertama itu telah membawa kepada tangkapan tiga lagi suspek termasuk seorang wanita yang didapati positif dadah antara 7 dan 9 malam.
“Ini menjadikan jumlah tangkapan berhubung kes itu setakat ini adalah seramai empat orang. Suspek lelaki berusia 43 tahun itu direman sehingga 28 April ini manakala tiga lagi suspek direman enam hari sehingga 1 Mei depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ahmad Shukri berkata mangsa lelaki berusia 27 tahun itu sudah ditemukan namun motif kejadian masih dalam siasatan.
Perbuatan melarikan lelaki itu tular dalam satu video berdurasi 41 saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki ditarik dan ditolak masuk ke dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva oleh beberapa individu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial