DUNIA

China Dan Arab Saudi Jalin Kerjasama Bina Kilang Papan Besi Keluli

03/05/2023 04:03 PM

BEIJING, 2 Mei (Bernama) -- Syarikat Besi Keluli Baowu dari China menandatangani perjanjian dengan syarikat petroleum milik negara Arab Saudi, Saudi Aramco dan Tabung Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) di ibu pejabat Saudi Aramco di Dammam pada Isnin.

Dalam perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bersama-sama membina kilang penghasilan papan besi keluli atau plat tebal proses penuh karbon rendah yang pertama di dunia.

Menurut perjanjian itu, 50 peratus saham dipegang Baowu, manakala Saudi Aramco dan PIF pula masing-masing memegang saham sebanyak 25 peratus.

Sebanyak 2.5 juta tan Directly Reduced Iron (DRI) dan 1.5 juta tan plat tebal proses penuh karbon rendah dijangka dapat dihasilkan setiap tahun.

Kapasiti penghasilan itu akan memenuhi keperluan bidang perindustrian strategik termasuk gas minyak, pembuatan kapal, projek maritim dan pembuatan tangki simpanan serta bekas tekanan.

Kilang berkenaan dijangka beroperasi pada penghujung 2026.

Sementara itu, sumber tenaga seperti gas asli dan janakuasa elektrik hijau yang subur di Arab Saudi bakal digunakan sepenuhnya dalam proses penghasilan kilang tersebut.

Dengan dilengkapi sebuah ketuhar DRI dan sebuah relau arka “Electric Arc Furnace” (EAF), jumlah pelepasan karbon dioksida dapat dikurangkan melebihi 60 peratus.

Jumlah itu dijangka akan terus berkurang hingga 90 peratus selepas digabungkan dengan hidrogen pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H. Nasser, berkata projek itu dijangka meningkatkan ekosistem perindustrian besi keluli, di samping mendorong pembangunan rantai pembekalan di negara itu sendiri.

“Selain itu, lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan melalui projek berkenaan, sekali gus mendorong peningkatan ekonomi dan pembangunan kepelbagaian perindustrian Arab Saudi,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan