AM

Malaysia Berhak Tentu Dasar Dalam Negara - Fahmi

03/05/2023 07:08 PM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) -- Malaysia sebagai negara berdaulat berhak menentukan sebarang dasar dalam negara tanpa kacau ganggu daripada pihak lain, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian sebagai responds kepada amaran Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) tentang keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei.

Fahmi berkata sebarang keputusan dibuat kerajaan akan mendatangkan manfaat kepada rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi serta keadaan yang harmoni dengan isu antarabangsa.

Justeru, katanya pertemuan dengan duta-duta asing susulan amaran tersebut akan diadakan bagi memperjelaskan keputusan kerajaan Malaysia dalam pelaksanaan 5G.

“Saya percaya setelah adakan perbincangan dengan pihak terbabit mereka faham pendirian Malaysia,” katanya dalam sidang media mengenai inisiatif 5G di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan EU dan AS memberikan amaran kepada Malaysia berlakunya risiko keselamatan negara sekiranya menggunakan kelengkapan 5G keluaran Huawei.

Amaran dihantar kepada kerajaan Malaysia pada April dengan kelengkapan 5G Huawei didakwa bukan sahaja mendatangkan risiko sekuriti kebangsaan tetapi juga ke atas pelaburan dari negara luar di Malaysia.

Huawei antara syarikat yang membida untuk kelengkapan 5G mereka digunakan selepas kerajaan Malaysia ingin mengkaji semula kontrak RM 11 bilion yang diberikan kepada Ericsson untuk kelengkapan Digital Nasional Bhd (DNB).

Hari ini, Fahmi berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB telah mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan