KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Bernama) -- Polis mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang wanita dari Kemaman yang mendakwa gambar dirinya dan ahli keluarga telah disalah guna serta dimuat naik dalam beberapa video lucah yang tular menerusi media sosial pada masa ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chukai, Kemaman pada Selasa lepas.
"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan Seksual Atas Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Bagaimanapun, setakat ini identiti suspek masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, media melaporkan mangsa yang dipercayai seorang guru mendakwa gambar dia sekeluarga di Facebook peribadinya telah dimuat naik dalam beberapa video lucah oleh seorang pengguna akaun Twitter sejak Disember tahun lepas.
Video berkenaan memaparkan aksi lucah pelaku dengan menggunakan gambar mangsa termasuk ahli keluarganya iaitu anak perempuannya yang berpakaian seragam sekolah, kakak ipar dan anak saudara perempuannya sebagai gambar latar belakang.
Mangsa turut mendakwa terdapat ramai lagi kanak-kanak dan wanita lain yang merupakan kenalannya di sekitar Kemaman yang turut menjadi mangsa tindakan tidak bermoral suspek itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial