AM

DANA SENTUHAN KASIH SAYANG: LEBIH RM300 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK NAIK TARAF KEMUDAHAN RAKYAT

11/05/2023 05:29 PM

PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) --  Lebih RM300 juta diperuntukkan tahun ini untuk program Sentuhan Kasih Sayang bagi membangunkan projek serta menaik taraf kemudahan rakyat yang diberikan kepada semua negeri secara adil dan profesional mengikut keperluan tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata beliau telah memulakan jelajah Sentuhan Kasih Sayang sejak tiga bulan lepas dan antara negeri yang dilawati ialah Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak, Johor dan akan datang ke Negeri Sembilan.

Beliau berkata peruntukan diberikan secara profesional mengikut keperluan dan sebagai contoh di Langkawi, Kedah yang di bawah pentadbiran pembangkang, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberikan RM2 juta kepada Majlis Perbandaran Langkawi untuk menaik taraf dua pasar utama, membina tandas baharu dan menaik taraf medan selera.

Nga berkata warga Johor Bahru pula akan mendapat berita gembira pada Isnin depan (15 Mei) apabila beliau akan mengumumkan beberapa projek melibatkan peruntukan lebih RM10 juta untuk menyelesaikan beberapa isu seperti penurapan jalan, naik taraf medan selera, pembersihan tandas awam dan pembinaan taman rekreasi.

"Saya janji peruntukan lebih RM10 juta akan diumumkan Isnin nanti untuk Johor Bahru," katanya ketika ditemui media pada Majlis Jalinan Muhibah sempena sambutan Aidilfitri KPKT di sini hari ini.

Sementara itu, Nga berkata pihak bomba telah mengenal pasti  406 kawasan titik panas (hotspot) akan berlaku kebakaran  ekoran cuaca panas dan kering.

"Sekarang ini cuaca panas luar biasa dan saya menyeru semua pihak untuk menghentikan pembakaran sampah secara terbuka dengan serta-merta kerana pembakaran itu akan menyebabkan kejadian lebih teruk khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Menurutnya, pihak yang didapati membuat pembakaran  terbuka akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar, manakala tindakan kompaun dan dakwaan di mahkamah oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terhadap pihak yang mengakibatkan kebakaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan