EKONOMI

Df Lancar Robot Mudah Alih Berautonomi Baharu, Perkasa Imej Syarikat Hasil Produk Pintar Teknologi Tinggi

13/05/2023 01:13 PM

JOHOR BAHRU, 13 Mei (Bernama) -- Syarikat automasi dan robotik tempatan, DF Automation & Robotics Sdn Bhd melancarkan logo dan model baharu robot mudah alih berautonomi (AMR) yang dikenali sebagai Titan bagi memperkasa imej syarikat untuk terus menghasilkan produk pintar berteknologi tinggi.

Pengerusinya Dr Yeong Che Fai berkata langkah tersebut adalah selaras dengan peningkatan permintaan terhadap produk syarikat di peringkat global.

"Kita telah mengeksport robot ke luar negara seperti Asia Tenggara, Eropah dan sebagainya. Kita nampak ada perubahan perlu dibuat dan mahu produk robot kita berbeza. Jadi, saya rasa perlulah kita menukar sedikit imej dan fokus kepada robot yang lebih cerdik dan cerdas.

"Logo terbaharu ini adalah kombinasi dua elemen iaitu burung dan pertumbuhan. Apabila kedua-dua elemen ini bergabung, maka melambangkan pertumbuhan di pasaran dan itu yang kita sedang lakukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo dan model baharu AMR di sini malam tadi.

Beliau berkata Titan dicipta untuk melakukan tugas-tugas berat dan berkemampuan membawa bebanan sehingga 1.5 tan dari satu tempat ke satu tempat secara automatik, sekali gus menjadikannya sesuai untuk kegunaan sektor perindustrian dan menjimatkan tenaga buruh.

"Sebenarnya kita mempunyai banyak pelanggan di gudang dalam dan luar negara yang meminta sebuah robot untuk mengangkat barangan lebih berat. Sebelum ini, robot kita hanya mampu mengangkat bebanan sehingga 500 kilogram. 

"Susulan permintaan tersebut, kita buat produk ini dalam masa satu setengah tahun dan kini terhasil robot yang boleh mengangkat barangan 1.5 tan," katanya sambil memaklumkan seunit Titan berharga kira-kira RM350,000.

Beliau berkata sehingga kini syarikat tersebut telah menjual pelbagai robot melebihi 300 unit di pasaran dalam dan luar negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Mohammad Hazani Hassan berkata, beliau berharap DF Automation & Robotics yang telah menerima Dana Pertumbuhan Perniagaan daripada MTDC sejak tahun lepas akan terus menjadi syarikat perintis untuk membawa teknologi robotik Malaysia ke luar negara. 

Katanya sebelum ini MTDC, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan syarikat berkenaan bersama-sama membangunkan robot penghantaran dinamakan sebagai Robot Makcik Kiah 19  yang dicipta untuk membantu melakukan kerja-kerja petugas barisan hadapan ketika pandemik Covid-19.

"Kita mempunyai harapan yang tinggi terhadap DF Automation & Robotics untuk menjadi antara peneraju dalam bidang robotik. Kita sentiasa mendorong syarikat tempatan menghasilkan produk ke arah IR4.0 (Revolusi Perindustrian 4.0) dan syarikat ini telah membantu merealisasikan hasrat tersebut.

"DF Automation & Robotics sudah ada banyak produk. Kita lihat di Malaysia, ketika ini mereka bekerja dengan banyak syarikat multinasional. Syarikat multinasional inilah yang membawa produk mereka ke luar negara. Inilah yang membuatkan kita berasa bangga," kata Mohammad Hazani.

Sementara itu, beliau berkata MTDC akan mengadakan program Road2Growth Wilayah Selatan di Iskandar Puteri pada 22 Mei ini sebagai platform untuk memperkenalkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana yang telah menerima manfaat dan bimbingan daripada MTDC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan