AM

'Tok Janggut 13 Liang' Wajar Dipertimbang Ke Layar Perak

20/10/2024 12:16 PM

KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Kisah perjuangan ‘Tok Janggut’, selain dipentaskan menerusi teater 'Tok Janggut 13 Liang’ wajar dipertimbangkan untuk diangkat ke layar perak kerana mempunyai mesej perjuangan pahlawan Melayu dan plot penceritaan yang baik.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata jika teater ‘Mat Kilau’ boleh difilemkan, tidak mustahil perkara sama boleh berlaku kepada ‘Tok Janggut 13 Liang’ yang diadaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara Allahyarham S. Othman Kelantan berjudul 'Perwira'.

“Agensi berkaitan seperti FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) berkemungkinan mempunyai dana boleh menerbitkan filem seumpama ini. 

“JKKN tidak menerbitkan filem kerana fungsi kami menjurus kepada seni persembahan pentas dan berbeza dengan seni perfileman,” katanya pada sidang media selepas menonton teater itu yang dipentaskan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini malam tadi.

Mohd Amran berkata pementasan teater seumpama itu bertujuan mengangkat karya agung di 14 negeri dan Kelantan memilih karya perjuangan tokoh tempatan ‘Tok Janggut’ atau nama sebenarnya Mat Hassan Mat Munas.

Beliau berkata selain mengangkat perjuangan seseorang tokoh tempatan, matlamat pementasan ialah memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga kedaulatan negara khususnya kepada generasi muda.

“Jika dilihat jalan cerita yang dipaparkan dalam teater ini, matlamatnya untuk memastikan Tanah Melayu dan orang Melayu itu sendiri ada prinsip perjuangan mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir luar dan mesej yang disampaikan jelas serta tidak terlalu berat,” katanya.

Sementara itu, pengarah teater ‘Tok Janggut 13 Liang’ Jihan Meghaa Ismail berkata teater berkenaan mengangkat kisah perjuangan Tok Janggut dalam menentang ketidakadilan Inggeris berkaitan undang-undang cukai yang membebankan rakyat Kelantan.

Jihan Meghaa berkata beliau amat tertarik dengan tajuk ‘13 Liang’ kerana ramai tidak mengetahui cerita sebenar disebalik kejadian itu yang diceritakan oleh cucu-cicit Tok Janggut.

“Definisi ‘13 Liang’ merujuk kepada ‘lubang tikaman’ iaitu kehebatan Tok Janggut yang menikam badan orang Inggeris sebanyak 13 kali dan itulah antara perkara yang saya cuba tonjolkan dalam teater ini,” katanya sambil menambah pementasan teater selama satu jam 20 minit itu di Kelantan diadakan pada 18 dan 19 Okt.

Teater berkenaan menampilkan barisan pelakon terkemuka antaranya Datuk Hilal Azman yang memegang watak utama sebagai Tok Janggut dan Hasnul Rahmat, pemerintah British yang dikenali sebagai 'Lagham Carter'.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan