SUKAN

Skuad Sepak Takraw Negara Bangkit Tempah Slot Ke Final Double Lelaki

14/05/2023 11:07 PM

PHNOM PENH, 14 Mei (Bernama) -- Skuad sepak takraw negara terpaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan tempat ke perlawanan akhir acara double lelaki pada Sukan SEA 2023 selepas menumpaskan Filipina 2-1 di sini hari ini.

Pada saingan separuh akhir yang berlangsung sengit di Dewan Bola Keranjang NSTC itu, gandingan Malaysia dibarisi Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Nor Aizat Mohd Nordin dengan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan diletakkan sebagai simpanan, tewas 11-21 pada set pertama.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan mereka apabila bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-17.

Pada set penentuan penuh mendebarkan, kedua-dua pasukan saling memungut mata sebelum anak buah Ahmad Jais Baharun itu menoktahkan kemenangan 21-19.

Kemaraan ke pentas final esok bakal menyaksikan pertemuan ulangan antara Malaysia dan Indonesia pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas dengan skuad negara terpaksa berpuas hati meraih perak apabila tewas 1-2. 

Dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini, Indonesia mara ke final selepas menewaskan Myanmar 2-0.

Terdahulu, dalam aksi peringkat Kumpulan B, Malaysia menumpaskan tuan rumah, Kemboja 2-0 (21-14, 21-11), kalahkan Myanmar 2-0 (21-15, 21-12) dan mengatasi Singapura 2-0 (21-12, 21-13)

Sementara itu, Ahmad Jais mengakui skuad negara hilang fokus pada set pertama sebelum berjaya memperkemaskan permainan pada dua set berikutnya.

Katanya, mereka sudah menjangkakan bakal diberi tentangan sengit daripada pasukan Filipina yang merupakan antara empat pasukan terbaik dalam acara berkenaan pada edisi di Hanoi.

“Di set ketiga persaingan mata sengit. Tetapi kesilapan demi kesilapan dilakukan pada saat akhir permainan, itu yang mendebarkan. Alhamdulillah, pemain dapat memperbaiki kesilapan dan memenangi perlawanan ini.

“Saya harap pemain lebih fokus pada perlawanan akhir esok sebab secara peribadi, atas kertas permainan pasukan Indonesia konsisten sejak acara double berpasukan (sebelum ini) dan sekarang acara double. Saya melihat peluang pada perlawanan akhir esok 50-50,” katanya.

Pada temasya kali ini, Malaysia tidak menyertai acara double berpasukan lelaki.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan