AM

Kerajaan Sedia Isytihar Darurat Jika Cuaca Panas Melampau

16/05/2023 03:30 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedia mengisytiharkan darurat jika cuaca panas di negara ini mencapai tahap suhu melampau, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diaktifkan berhubung pengisytiharan darurat, sekiranya cuaca panas melampau berterusan.

“Kita sedang pantau 24 jam. Kalau ada darurat kita akan buat pengumuman. Buat masa ini belum lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bilangan 1 2023 di Perdana Putra di sini, hari ini.

Katanya operasi pembenihan awan juga akan dilakukan di tujuh lokasi bagi mengisi empangan yang menunjukkan kadar paras air merosot iaitu di Sungai Muda dan Sungai Kedah di Kedah; Sungai Melaka (Melaka); Sungai Kelantan (Kelantan); Sungai Klang (Selangor); Sungai Bernam (sempadan Perak dan Selangor); dan Sungai Similajau di Sarawak.

Ahmad Zahid berkata operasi berkenaan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), malah beliau sendiri akan menyertai tinjauan di Sungai Muda dan Sungai Kedah petang ini untuk melihat sama ada keadaan awan sesuai untuk proses pembenihan.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat hari ini turut dimaklumkan terdapat 406 lokasi berisiko berlakunya kebakaran terbuka disebabkan kawasan bertanah gambut.

“Sebanyak 616 operasi pemantauan beroperasi 24 jam sedang dilaksanakan di kawasan-kawasan yang selalu berlaku kebakaran, terutama kategori kawasan kebun dan ladang, hutan, belukar berlalang dan kawasan sampah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya terdapat 101 telaga tiub telah dibina bagi memudahkan operasi memadam kebakaran hutan yang jauh dari sumber air dan di kawasan sering berlaku kebakaran.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan