AM

Ahmad Zahid Cadang Pengusaha Inap Desa Dikecualikan Kenaikan Tarif Elektrik

04/02/2025 05:06 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pengusaha inap desa dan kampungstay diberikan pengecualian daripada kenaikan tarif elektrik.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia susulan perkembangan pesat sektor inap desa dan kampungstay yang berjaya menarik minat hampir 830,000 pelancong domestik dan antarabangsa dengan janaan pendapatan sekitar RM54 juta tahun lepas.

“Saya akan minta pengecualian kenaikan kadar tarif elektrik kepada pengusaha inap desa kerana mereka adalah golongan 85 peratus rakyat tidak terkesan. Kenaikan ini hanya melibatkan sektor perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Inap Desa di Bangunan Parlimen, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa Julai depan hanya melibatkan sektor perindustrian, dengan 85 peratus daripada rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan itu.

Ahmad Zahid berkata berdasarkan prestasi sektor berkenaan pada tahun lepas, kerajaan menyasarkan sejumlah 1.6 juta pelancong dengan janaan pendapatan sekitar RM100 juta bagi tahun ini.

“Tahun ini kita akan fokuskan kepada program pertukaran pelajar antarabangsa khususnya negara-negara ASEAN dan membawa mereka menginap di inap desa dan kampungstay.

“Kita sedar terdapat kekangan yang dihadapi oleh pengusaha sektor ini termasuk infrastruktur dan fasiliti mereka...oleh itu jawatankuasa ini akan mencari jalan untuk membantu mereka termasuk meneruskan pemberian kursus yang sesuai bagi usahawan dan pengusaha sektor ini,” katanya.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Ahmad Zahid berkata adalah penting untuk sektor penginapan di kawasan desa dan luar bandar itu dipromosikan seiring dengan kemudahan penginapan di bandar seperti hotel serta menonjolkan budaya dan keindahan semula jadi Malaysia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan