AM

Mosp Fokus Usaha Mengukuhkan Ekosistem Sains Terbuka

16/05/2023 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) yang dilancarkan hari ini akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan ekosistem sains terbuka dalam negara.

Beliau berkata MOSP akan menyediakan garis panduan, pembinaan keupayaan dan program kesedaran, serta membangunkan infrastruktur bagi penyelidikan perkongsian data.

“MOSP menerima pakai prinsip F.A.I.R. iaitu boleh cari (Findable), boleh diakses (Accessible), boleh dikendali (Interoperable), dan boleh digunakan semula (Reusable).

 “Projek penyelidikan yang dilaksanakan dengan menggunakan dana awam seharusnya boleh diakses dan digunakan semula oleh pihak lain bagi meningkatkan nilai pulangan,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran MOSP oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini hari ini.

Sementara itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan yang diedar di majlis pelancaran berkata amalan sains terbuka akan menjadi bahan penting dalam ekosistem penyelidikan dan pembangunan yang akan meneroka masa depan baharu bagi landskap penyelidikan di Malaysia.

Menurut kenyataan itu MOSP yang boleh diakses menerusi mosp.gov.my merupakan platform perkongsian data penyelidikan mentah yang dimulakan oleh MOSTI.

Inisiatif perintis telah diuruskan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) sejak 2019.

Secara strategik ASM telah menubuhkan Malaysia Open Science Alliance (MOSA) yang merangkumi MOSTI, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Kesihatan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Institut Kesihatan Negara.

MOSA turut merangkumi lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan