EKONOMI

Exim Bank Malaysia, Saudi Exim Meterai Mou Bangun, Pertingkat Kapasiti Eksport Pks

17/05/2023 08:05 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank Malaysia) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Saudi Export-Import Bank (Saudi EXIM) untuk membangunkan dan meningkatkan kapasiti eksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara.

MoU itu juga bertujuan memupuk persefahaman bersama dan penyelarasan yang rapat melalui pertukaran maklumat, pengalaman dan hubungan perniagaan.

Dalam kenyataan bertarikh 13 Mei, EXIM Bank Malaysia menjelaskan kedua-dua bank mengenal pasti potensi pertumbuhan dan peluang pelaburan antara Malaysia dan Arab Saudi, selain berhasrat untuk meneruskan dialog aktif dan saluran komunikasi yang lancar bagi rujukan projek yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pihak juga akan meneroka peluang latihan dan peminjaman kakitangan dalam kredit, pengunderaitan risiko dan dokumentasi, di samping mempertimbangkan program capaian pelanggan bersama untuk memudahkan pertumbuhan perdagangan dua hala, tambahnya.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EXIM Bank Malaysia, Arshad Ismail dan CEO Saudi EXIM, Saad Al-Khalb.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi EXIM Bank Malaysia, Datuk Azman Mahmud menyaksikan acara itu.

Arshad berkata EXIM Bank Malaysia dan Saudi EXIM berkongsi hubungan yang diharapkan akan membawa kedua-dua pihak ke tahap yang lebih tinggi memandangkan EXIM Bank Malaysia menghargai peluang kerjasama dan memperkukuh hubungan dengan Saudi EXIM.

“Saya menganggap Saudi EXIM sebagai rakan kongsi yang sangat penting dan berharap dapat membuka akses pasaran yang lebih luas untuk pelanggan kami, serta mengekalkan saluran dialog dan komunikasi yang aktif untuk perniagaan berterusan dan projek rujukan,” katanya.

Berkongsi pandangan mengenai MoU itu, Saad Al-Khalb berkata perkongsian ini akan membolehkan pihaknya memperkukuh usaha kerjasama untuk manfaat PKS Arab Saudi dan meningkatkan kapasiti eksport.

“Melalui pertukaran pengetahuan dan kepakaran, latihan bersama dan inisiatif jangkauan kami berharap dapat memudahkan pembangunan perdagangan dan menggalakkan persefahaman dan penyelarasan bersama antara kedua-dua negara pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

EXIM Bank Malaysia dan Saudi EXIM dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan masing-masing dengan mandat khusus.

EXIM Bank Malaysia ditubuhkan untuk menyediakan pembiayaan kredit, takaful kredit eksport, perkhidmatan jaminan, dan kemudahan untuk menyokong eksport dan import barangan, perkhidmatan serta projek dan pelaburan luar negara dengan penekanan kepada pasaran bukan tradisional.

Objektif utama Saudi EXIM pula adalah untuk menggalakkan pembangunan dan kepelbagaian eksport Arab Saudi dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing di pasaran global dalam pelbagai sektor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan